SPM 2026: Doa Ayah Ibu Mengiringi Langkahmu Duhai Anak Pertamaku

Hari ini, 23 November 2026, bermulalah hari pertama Ujian Bertulis SPM untuk anak-anak Batch 09.

Seawal pagi, semua ibu bapa dijemput hadir ke sekolah bagi memberikan sokongan dan motivasi kepada anak-anak sebelum mereka memulakan peperiksaan.

Saya pula, sebelum jam 7 pagi sudah berjaya mendapatkan parkir yang agak cantik betul-betul di hadapan sekolah. Hihi. Encik suami pula datang dengan keretanya sendiri. Masing-masing ada urusan kerja selepas itu, jadi kenalah bergerak secara berasingan.

Sebaik berkumpul di dewan sekolah, ibu bapa turut berpeluang mendengar taklimat dan kata-kata semangat daripada guru-guru serta Tuan Pengetua. Seronok juga melihat ramai ibu bapa hadir memberikan sokongan kepada anak masing-masing.

Ayah Ibu sentiasa mendoakan kejayaan #theIMANs adik-beradik

Walau bagaimanapun, saya dan encik suami tidak dapat menunggu sehingga anak-anak bergerak ke bilik peperiksaan kerana perlu masuk ke pejabat.

Tak mengapalah. Walaupun tidak dapat menemani sehingga ke pintu bilik peperiksaan, doa kami sebagai ibu bapa tetap mengiringi setiap langkah mereka.

Hari ini bermula dengan Ujian Mendengar Bahasa Melayu, diikuti Kertas Bahasa Melayu 1 dan Kertas Bahasa Melayu 2 pada sebelah petang.

Buat anak ibu dan semua anak-anak Batch 09, semoga Allah permudahkan segala urusan kalian. Semoga diberikan ketenangan, kelapangan fikiran dan ilham untuk menjawab setiap soalan dengan baik.

Asbab anak inilah blog ini bertahan

Usaha sudah dibuat, ilmu sudah ditimba. Sekarang masanya untuk memberikan yang terbaik.

Selamat menduduki SPM 2026, anak-anak Batch 09!


Allahumma Amiin. 🤲



Kalaulah Iman tahu, sebelum balik Ibu sempat lagi bergambar bersama geng-geng mak, hahaha. Selalu jer Iman merungut kalau ada majlis di sekolah, "Ibu ni semua kawan nak bergambar, dah la ramai pulak tu jumpa kawan-kawan ibu." Ahahaha. Nasiblah nakkk. Ni pun tak semua bergambar, ada yang touch & go, ada yang sembang sekejap, ada yang senyum saja dari jauh. Hihihi.


MimSphere — singgah, baca, komen.






 

Post a Comment

0 Comments