Khasiat Tauge, Tauge Haters Jangan Baca

Oops, maaf ya tauge haters. Baca boleh, makan tak payahlah. Saya tak paksa pun. Hihi.


Mudah Jatuh Cinta Tengok Tauge

Saya tak bolehlah kalau ternampak tauge yang segar, bersih macam ni, memang geram je nak beli. Nak buat sendiri, memang tak lah, saya bukan sejenis yang gigih suka bercucuk-tanam. 

Segar kan? Dah bersih dibuang ekor, tinggal nak masak je lagi. Hendak 1000 daya, gigih buang ekor sebab nak makan tu. Kalau takde kemahuan nak membuang ekor tauge, memang saya tak beli. 


Tauge Masak Apa?

Saya suka tumis dengan udang, campur sawi. Hari tu tauhu macam tak fresh dah, malas la nak beli.


Idea Menu Untuk Keluarga

Dan tauge-sawi tumis udang digandingkan dengan ikan bawal emas goreng, cicah dengan kicap pedas. Kicap, cili padi dan cuka. Bukan sambal kicap pedas, yang ni cilinya main picit-picit je guna sudu, lagi pedas. Ikan bawal mulanya nak steam, tapi #theIMANs request goreng je. Ibu on saja, goreng pun sodap.

Iman tak suka tauge, tapi ibu paksa untuk rasa. Sedaplah dia cakap, yang dalam mee tu yang tak sedap, katanya lagi. Haaa, tau takpe.


Dan, tahukah anda??

KHASIAT TAUGE DARI ASPEK KESIHATAN 

Antikanser
Taugeh ialah hasil cambahan daripada kacang hijau dan alfalfa mengandungi banyak unsur fitokimia yang bernutrien tinggi. Salah satu khasiatnya ialah kehadiran canavanine iaitu sejenis asid amino.
Asid amino ini mampu menghalang pertumbuhan kanser usus besar, pankreas dan leukimia.

Baik untuk Sistem Pencernaan
Serat dan enzim semula jadi di dalam taugeh dapat meningkatkan kontraksi di dalam usus yang membolehkan kelancaran proses membuang air besar. Oleh itu, sesiapa yang mengalami masalah sembelit, jangan lupa makan taugeh setiap hari. Asid dalam perut dapat dikekalkan dan dapat melancarkan sistem pencernaan.

Baik untuk Wanita
Tahukah anda, taugeh mempunyai estrogen semula jadi? Fungsinya sama seperti estrogen sintesis yang utama untuk wanita. Estrogen dalam taugeh dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang dan mencegah osteoporosis.

Malahan, memakan taugeh secara kerap dapat mengelakkan sakit semasa haid, simptom pra-menopaus, gangguan menopaus dan kembung perut. Semangkuk taugeh mengandungi vitamin A, B1, C, E dan K yang sangat baik untuk tubuh badan wanita.

Menggalakkan Kesuburan
Jika pasangan yang sudah berkahwin mempunyai masalah kesuburan yang menyukarkan mereka mendapat anak, taugeh sangat bermanfaat. Pengambilan taugeh oleh kaum lelaki mampu menghasilkan sperma yang baik dan berkualiti. Malahan, bagi kaum wanita ovum yang dihasilkan ketika proses ovulasi juga berkualiti.

Mengurangkan Lemak
Bagi pesakit jantung dan mereka yang berisiko mendapat strok disebabkan oleh kadar kolestrol yang tinggi, digalakkan untuk mengambil taugeh dalam hidangan harian.
Saponin di dalam taugeh akan menyingkirkan lemak jahat (LDL) tanpa mengganggu lemak baik (HDL). Ini kerana ketika kacang hijau tumbuh sebagai taugeh, dikatakan bahawa kadar saponinnya meningkat sebanyak 450 peratus.

Membersihkan Usus
Taugeh sangat kaya dengan serat dan air dapat membersihkan segala kekotoran di usus besar. Apabila saluran usus bersih, tiada lagi zat dalam kotoran yang akan diserap oleh tubuh. Oleh itu, segala toksik dalam badan yang boleh merangsang penyakit dapat dielakkan.

Mengurangkan Tekanan
Kandungan flavonoid yang terdapat di dalam taugeh mampu mengurangkan masalah stres yang membawa kepada depresi. Flavonoid dapat merangsang hormon melatonin yang mengawal mood. Selain itu, ia juga membantu kita mendapatkan tidur yang berkualiti.

Menurunkan Berat Badan
Taugeh mempunyai kalori yang rendah. Disebabkan ia kaya dengan serat, kita akan mudah berasa kenyang. Ini menyebabkan taugeh merupakan pilihan yang sihat dan baik sekali bagi orang yang ingin menurunkan berat badan.

Meningkatkan Fungsi Organ
Taugeh sesuai dimakan secara dimasak atau dibuat ulam. Berbanding sayuran dan buah-buahan yang tak dimasak, taugeh mengandungi 100 kali lebih banyak enzim. Enzim ini mengandungi protein khas yang meningkatkan fungsi organ di dalam tubuh kita.

Jika kita hendak mengelak makan daging atau ayam, taugeh boleh digantikan sebagai sumber protein. Taugeh mampu memberi 35 peratus protein untuk tubuh.

Mencegah Anemia
Kandungan asid folik yang tinggi di dalam taugeh sangat baik untuk meningkatkan sel darah merah yang membawa oksigen. Pengeluaran sel darah merah yang stabil menghalang terjadinya anemia.

Meningkatkan Metabolisme Badan
Vitamin B yang terdapat di dalam taugeh dapat meningkatkan metabolisme badan dengan cara memastikan sel-sel berfungsi dengan baik. Ia mengubah makanan menjadi sumber tenaga, memelihara sel-sel otak dan jaringan tubuh badan.

Baik untuk Penglihatan
Jika anda tak mahu ada masalah penglihatan seperti rabun, banyakkan makan taugeh. Kandungan vitamin A di dalamnya meningkatkan kesihatan mata. Ia juga mempunyai agen antioksidan yang dapat melindungi sel-sel mata daripada radikal bebas. Radikal bebas ni dapat merosakkan retina yang akan menyebabkan katarak.

Mengurangkan Asid
Pakar pemakanan mengesyorkan, kita perlulah mengambil makanan beralkali sebanyak 80 peratus dan 20 peratus lagi makanan berasid. Mereka yang mengekalkan corak pemakanan seperti ini akan lebih bertenaga dan sihat.
Salah satu makanan yang tinggi alkali ialah taugeh. Ia mampu mengekalkan keseimbangan nilai pH dalam badan. Malahan, dilaporkan juga individu yang mempunyai badan yang tinggi asid cenderung mendapat serangan kanser.

KHASIAT TAUGE DARI ASPEK KECANTIKAN

Mencantikkan Kulit Wajah
Nak cantik, tapi tak suka taugeh. Tak perlu membeli produk yang mahal-mahal di pasaran kerana taugeh juga mampu memberi kesan yang sama. Kandungan Omega 3 di dalamnya dapat mengurangkan masalah jerawat dan jeragat.

Masalah bintik putih dan hitam juga dapat dikurangkan. Tak percaya? Cuba amalkan memakan sayur taugeh setiap hari. Anda pasti tak akan menyesal.

Rambut yang Cantik
Taugeh mengandungi vitamin A yang boleh merangsang folikel rambut dan kulit kepala. Jika anda nak rambut yang cantik, sihat, kuat dan hitam menawan, makanlah taugeh sebagai sumber vitamin setiap hari. Jangan tak tahu, masalah kelemumur juga boleh berkurangan.

Melembapkan Kulit
Jika anda mempunyai kulit yang terlalu kering, masalah ni boleh diatasi dengan memakan taugeh secara kerap. Taugeh mempunyai kandungan vitamin C dan air yang tinggi. Hasilnya kulit nampak sihat, licin, tona sekata dan berseri-seri.

Awet Muda
Kandungan antioksidan yang tinggi di dalam taugeh mampu menghalang tubuh daripada radikal bebas yang merosakkan sel. Radikal bebas yang terhasil daripada pencemaran udara dan sinaran UV akan merosakkan kulit muka.
 

Tauge Menu Rahmah

Tauge ni murah je, itu yang kadang-kadang ambik untuk sekali makan, eh tak sampai pun RM3. Cuma kalau nak tumis dengan udang tu, bertambahlah kosnya, tak adalah jadinya menu rahmah lagi. Tapi kalau nak makan sedap takyah la kita berkira kan? Seadanya selagi mampu. 

Teringat kata-kata bapak, selagi sihat, apa yang nak makan, makan je. Nanti dah sakit, dah tua, semua kena pantang, itu tak boleh ini tak boleh. Hmmm. Baiklah, bapak.

Post a Comment

16 Comments

  1. Saya pencinta taugeh. Memang geram tengok taugeh segar-segar macam tu. Suka beli jenis kering dan bukan jenis basah rendam dalam air tu. Jenis kering tu senang simpan dan lebih tahan lama. Sedap pun sedap rangup. Oo tumis dengan udang dan sawi ye. Boleh cuba cara KakMim. Saya suka campuran taugeh+kucai+tauhu atau taugeh+tauhu+tempe. Sedap! Tapi tauhu kalau dah masam tu agak spoil lah.

    ReplyDelete
  2. sedapnyaaaa......peberet kak mieja dan anak lelaki.

    ReplyDelete
  3. tauhu ni susah betul nak jaga kesegaran dia. saya suka beli yang dalam paket. kalau yang dalam besen celup celup tu, kalau baru sampai dan penuh lagi, saya beli lah.. kalau dah petang petang, nampak dah tak segar sebab dah ramai yang celup celup.. malas nak beli

    ReplyDelete
  4. Menu yang mudah dengan taugeh kan kakmim.. Kalau ada tahu mesti lagi masyuk..

    ReplyDelete
  5. Tauge masak lemak makan dengan sambal ikan buat saya teringat2...menu kat atas tu pun boleh buat tambah nasi...

    ReplyDelete
  6. Akak peminat tauge, x kisah la tauge kasar ke atau tauge halus..kalau dapat tu....ermmmmm dapnyaaaa

    ReplyDelete
  7. Saya team pencinta tauge, masak boleh, makan mentah pun boleh. Kalau goreng gini memang tak tolak

    ReplyDelete
  8. Ana paling suka taugeh krup krupppppp krappp! tp kalu taugeh yg lembik tu ana sanggup asing satu-satu ehehe

    ReplyDelete
  9. abang Mueez suka tauge...tapi buat sayur je..kalau masuk dalam bihun @ kuetiau, dia tak makan

    ReplyDelete
  10. Akak suka... lagi² masak jangan layu sangat. Dulu tak reti makan ekornya... sekarang hantam je 🤣
    Tak rajin dah nak buang.. asalkan kepala hitam tu takde ok.

    ReplyDelete
  11. Banyak khasiat taugeh ni kan...ni mesti ramai nak beli taugeh lepas ni..dulu arwah mak jual laris,,

    ReplyDelete
  12. Saya sedikit sama dengan anak kakak. Sukaaaa tauge, tp saya tak suka tauge dalam mi ayam atau mi rebus.

    Anehnya, dalam mi goreng sukaaa 🤣🤣. Intinya, boleh dimasak apa saja, asal jangan letak dlm mie yg berkuah 😄

    ReplyDelete
  13. Taugeh nii walaupun kecil dan simple, tapi penuh khasiat! 🌱✨ Ramai tak sangka sayur ni sebenarnya superfood bajet yang elok untuk badan.

    ReplyDelete

Penafian:

Setiap maklumat yang terkandung di dalam blog ini adalah pengalaman peribadi penulis ♥ KakmimDotCom ♥

Oleh itu, setiap komen yang tersiar di ♥ KakmimDotCom ♥ adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis komen itu sendiri malah tidak mewakili pandangan penulis blog. Penulis blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlakunya sebarang permasalahan yang timbul yang berkait dengan komen tersebut.

Penulis blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.

Sekiranya ada persoalan dan masalah, bolehlah terus email di kakmimdotcom@gmail.com. Selamat membaca!