Sejarah Hari Sarawak


22 Julai
Tarikh ni kami di Sarawak diisytiharkan cuti umum sejak tahun 2016
Makanya tahun 2022 ni akan jadi hujung minggu yang panjanglah.
Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Belum ada plan lagi ni.

Tapi 22 Julai bukannya hari kemerdekaan Sarawak.
Yang suka sejarah pasti akan tercari-cari apa ada dengan 22 Julai ni?
Meh saya letak sini artikel yang saya godek dari https://www.utusansarawak.com.my/?p=33560


22 JULAI BUKAN HARI SARAWAK MERDEKA


Sebelum 2016 dan berpuluh tahun lalu, tiada siapa hirau tarikh 22 Julai atau tepat lagi 22 Julai 1963. Ia berlalu begitu sahaja, manakala sebilangan pakar sejarah membuat tafsiran tersendiri berdasarkan kajian ilmiah mengenai tarikh keramat itu.

Bukan salah siapa. Tetapi jika ada kemahuan di situ ada jalan. Ia perlu ‘political will’ (kehendak politik) untuk melakukan sesuatu hingga menjadi realiti.

Sebagai seorang bekas wartawan dan peguam, mungkin terdetik di hati Pehin Sri Adenan Satem untuk melakukan sesuatu demi Sarawak, ketika hayatnya.

Maka enam tahun lalu, Adenan yang ketika itu Ketua Menteri, mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak. Sambutan pertamanya ialah pada 22 Julai 2016 selepas tarikh itu diisytihar cuti umum bagi negeri ini.

“Pengisytiharan ini adalah untuk kenang jasa generasi lama yang berjuang untuk Sarawak,” kata Allahyarham Adenan atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Nan’ ketika itu.

Tetapi malangnya, Tok Nan tidak sempat untuk meraikan Hari Sarawak seterusnya apabila menghembus nafas terakhir pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Sarawak. Alfatihah.

Hasrat terpendam untuk mengadakan Hari Sarawak dipercayai sudah bermula sejak 2012 lagi.

Namun, sehingga hari ini masih ramai yang keliru – Apa itu Hari Sarawak? Apakah ia tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak? Bagaimana pula 16 September sebagai Hari Malaysia.

Buku ‘The Rising Moon’ yang ditulis oleh Prof Michael Leigh, berkaitan politik Sarawak melalui hasil tesis PhD beliau mendedahkan 22 Julai 1963 adalah hari Kabinet Sarawak yang pertama atau kabinet perikatan, dibentuk.

Menurut Leigh adalah tidak tepat untuk menyatakan Sarawak memperoleh kemerdekaan dari British pada 22 Julai 1963.

Ini kerana kata beliau, gabenor British masih memegang kuasa penuh hingga 16 September 1963.

Nada yang sama turut disuarakan pakar sejarah Sarawak, Datu Dr Sanib Said yang bertegas menyatakan 22 Julai bukan tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak kerana penjajah British masih berkuasa di Bumi Kenyalang sehingga 15 September 1963.

Malah bekas Pengarah Muzium Sarawak itu dalam satu temuramah dengan akhbar nasional Berita Harian sebelum ini mengesahkan Sarawak menjadi sebuah negara hanya dalam tempoh kira-kira 20 jam.

“Saya membuat kajian mengenai tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak sejak lebih 30 tahun lalu. Banyak sumber saya jadikan rujukan dan hasilnya sudah saya peroleh yang jelas menunjukkan tarikh kemerdekaan Sarawak bukanlah pada 22 Julai 1963.

“Tanggal 22 Julai 1963 itu sebenarnya tarikh Sarawak mencapai status negara `berkerajaan sendiri’, tetapi pemimpin tempatan masih terikat dengan arahan serta perintah daripada kuasa penjajah.

“Pada tarikh itu, Gabenor Inggeris terakhir di Sarawak, Sir Alexander Waddell, mewartakan pelantikan Stephen Kalong Ningkan (mendiang, Tan Sri) sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak.

“Pada masa sama, Jawatankuasa Tertinggi atau Kabinet negeri dibentuk dan semua Menteri menerima watikah daripada Waddell. Berikutan pelantikan Ketua Menteri serta barisan Kabinetnya, pentadbiran Sarawak dijalankan oleh pemimpin tempatan termasuk Datuk Abdul Taib Mahmud (kini Tun) yang ketika itu memegang portfolio Komunikasi dan Kerja Raya.

“Tetapi kuasa perlembagaan masih dipegang oleh Gabenor Inggeris di peringkat negara Sarawak manakala kuasa tertinggi terhadap Sarawak masih lagi hak mutlak Ratu Elizabeth di London. Gabenor kalangan rakyat tempatan juga hanya dilantik pada 16 September 1963, jadi macam mana kita boleh mengatakan Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963?,” katanya.

Ketika polemik isu itu sebelum ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan sebagai berkata bahawa perdebatan mengenai ‘Hari Sarawak’ tidak akan berakhir kerana masing-masing mempunyai pandangan dan tafsiran.

“Jadi biarlah ahli-ahli sejarah membincangkannya. Yang penting kita meraikan sambutan Hari Sarawak ini sebagai hari penting dalam sejarah pentadbiran negeri.

“Apa juga pandangan, apa jua tafsiran, yang penting kuasa sudah berada di tangan kita. Itu yang paling utama,” katanya.

Malah ada yang mempertikaikan mengenai usaha pentadbiran Brooke menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada anak tempatan yang dikaitkan dengan Perlembagaan 1941.

Tok Nan dan Abang Johari sendiri sebelum ini pernah menjelaskan bahawa salah satu daripada sembilan prinsip utama Perlembagaan 1941 yang dikenali sebagai ‘Nine Cardinal Principles’ ada menyebut mengenai usaha untuk mempersediakan anak negeri ini ke arah berkerajaan sendiri.

Malangnya perlembagaan yang dirangka pada September 1941 oleh Charles Vyner Brooke itu tidak sempat dilaksanakan kerana menjelang Disember tahun sama, Sarawak diserang oleh Jepun.

“Kerana itulah juga kita meraikan hari 22 Julai 1963, kerana pada tarikh ini, prinsip pentadbiran anak tempatan ini telah menjadi kenyataan,” kata Abang Johari.

Sebelum ini di dalam laman sosial, ada pihak mendakwa usaha Brooke untuk memberikan kuasa pentadbiran kepada anak Sarawak itu sebagai mencelarukan fakta yang sedia ada.

“Fakta inilah yang dijadikan pegangan oleh kelompok yang menentang penjajahan, kerana mereka beranggapan pentadbiran Brooke berhasrat menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan tempatan, dan bukan menyerahkannya kepada Kerajaan Koloni British,” kata Abang Johari.

Ketika pertama kali sambutan Hari Sarawak, barisan kepemimpinan negeri mengenakan pakaian kot serba putih, bertali leher belang kuning dan hitam serta bersongkok.

Ini termasuk Tok Nan sendiri dan timbalannya ketika itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selain Yang di-Pertua Negeri, Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud, yang juga anggota kabinet pertama Sarawak pada 1963.

Ia persis pakaian keluarga Brooke yang memerintah Sarawak selama 105 tahun.

Pemerintahan Rajah Putih bermula dari James Brooke sebagai Rajah pertama yang memerintah Sarawak mulai 1841 hingga kematiannya pada 1868,
Charles Brooke (3 Ogos 1868 hingga kematiannya 17 Mei 1917 dan Charles Vyner Brooke mulai 24 Mei 1917 hingga 1 Julai 1946.

Ketika sambutan kali pertama Hari Sarawak enam tahun lalu, satu visualisasi atau pentomin diadakan bagi menggambarkan pentadbiran negeri ini sejak 1599 hingga 1842 di bawah pentadbiran Kesultanan Brunei.

Pentomin adalah lakonan semula situasi tanpa dialog dengan skripnya dibaca pihak lain bagi mengiringi lakonan itu.

Ia diteruskan dengan era pentadbiran Brooke dari 1842 hingga 1941 sebelum kemasukan Jepun, diikuti pentadbiran Koloni British dari 1946 hinggalah kepada pembentukan Malaysia.

Ia turut diselitkan dengan sedikit tumpuan kepada peristiwa penting pada 1963 itu termasuk hak-hak istimewa Sarawak yang dipersetujui sebelum membentuk Malaysia.

Perkara ini sebenarnya terkandung dalam persetujuan oleh Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menjadi lampiran kepada Perjanjian Malaysia.

Selamat Hari Sarawak buat semua Sarawakian!

 

4 Comments

♥ Cakap yang baik-baik, tulis yang baik-baik bukan sebab kita nak tunjuk baik. Terima kasih kerna komen yang baik-baik. ♥

  1. Tertanya-tanya juga pasal Hari Sarawak, ini rupanya sejarah Hari Sarawak.

    ReplyDelete
  2. Thanks for sharing. Ramai jugak tak tau ni. Selamat Hari Sarawak untuk orang Sarawak!

    ReplyDelete
  3. Dah 2 tahun sik meraikan hari Sarawak di Sarawak. Insha Allah bila sampai masa, kmk org mok balit Sarawak menetap di sinun.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post

Contact Form